suria

Jangan Percaya Khabar Angin Harga Minyak Dan Barangan Naik

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta supaya tidak mudah percaya kepada khabar angin mengenai kenaikan harga minyak serta barangan keperluan yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selagi tidak ada sebarang pengumuman dibuat oleh kerajaan mengenai kenaikan harga minyak atau barangan keperluan, orang ramai boleh menganggap ia sebagai spekulasi semata-mata.

"Mengenai harga minyak, setakat ini tidak dimaklumkan mengenai sebarang kenaikan. Bulan lepas pun orang kata minyak hendak naik harga, tapi belum naik. Bulan lepas juga, orang kata macam-macam barang akan naik harga, tapi masih tidak naik.

"Saya hendak beritahu kepada rakyat, selagi tidak ada pengumuman oleh kerajaan untuk sebarang kenaikan, ianya hanya spekulasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Bersama Pengguna Kawasan Puchong di Taman Puchong Indah dekat sini hari ini.

Beliau berkata spekulasi sebegini kadang-kadang boleh menimbulkan situasi panik khususnya di kalangan pengguna manakala ada pemborong dan peruncit pula mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia esok yang bertemakan 'Wang Kita, Hak Kita', orang ramai dinasihatkan supaya membelanjakan wang mereka dengan cara yang betul dan tidak membazir ke arah perkara yang tidak berfaedah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kementerian berkenaan, didapati tahap kesedaran pengguna terhadap hak mereka di negara ini masih berada di paras yang rendah, iaitu 58 peratus sahaja. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain