suria

Pesara Tentera Maut Selepas Kereta Dilanggar Treler

KUALA LUMPUR: Seorang pesara tentera maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya dilanggar sebuah treler di KM447.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini, semalam.

Ketua Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang, mangsa Noor Rahman Kadri, 55, berasal dari Taman Cempaka, Serendah, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Lori itu yang berada di lorong kiri jalan dalam perjalanan ke arah Klang selepas hantar barang di Butterworth. Dipercayai lori itu dipandu laju lalu brek mengejut apabila ada sebuah kereta di depannya.

"Treler itu hilang kawalan...kepala treler itu langgar pembahagi jalan sebelum melanggar kereta itu yang berada di lorong kanan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Che Husin berkata pemandu treler yang berumur dalam lingkungan 30-an itu mengalami cedera ringan manakala kelindan treler itu tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata pemandu treler itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan dan akan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain