suria

Kanak-Kanak Dipaksa Kahwin Dengan Lelaki Tabligh Ditemui Di Batu Caves

KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.

"Kira-kira pukul 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan daripada seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.

"Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

"Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

"Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu setelah 20 hari dia hilang," katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, dengan Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad.

Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai "Sudin Ajaib" itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

"Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui," katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan berkata, beliau masih mengharapkan orang ramai yang melihat lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara berwarna putih milik suaminya dengan nombor pendaftaran BEF 7599 supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Menurutnya, beliau bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain