suria

Dadah: Tiga Lelaki Iran Dan Seorang Wanita China Ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warganegara Iran dan seorang wanita warganegara China yang dipercayai pengedar dadah jenis syabu ditahan dalam dua operasi berasingan di Brickfields dan Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata dalam kejadian pertama, seorang lelaki Iran berusia 57 tahun, yang juga peniaga barangan elektrik, ditahan di tepi jalan sekitar kawasan Pantai Hill Park, Pantai Dalam, Brickfields kira-kira pukul 4.40 petang Selasa lepas (9 Mac).

"Kami menahan suspek pertama itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan bersama-sama beg pakaian yang dibawanya.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg itu, kami berjaya menemui lima plastik lutsinar berisi bahan serbuk dan ketulan disyaki syabu dengan anggaran berat 10kg," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata hasil siasatan seterusnya membawa kepada penahanan rakannya, yang juga lelaki warganegara Iran berusia 27 tahun, di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya pada hari yang sama.

Muhammad Sabtu berkata polis percaya suspek kedua itulah yang membawa masuk dadah jenis syabu dari Dubai yang ditemui dalam beg itu sebelum diserahkan kepada suspek pertama untuk diedarkan dalam negara ini.

Katanya nilai kesemua dadah itu berjumlah RM3 juta dan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,730 dan mata wang Iran 378,000 riyal dalam serbuan hasil risikan dan maklumat orang awam itu.

Beliau berkata polis percaya modus operandi sindiket ini adalah dengan meletakkan dadah dalam beg pakaian dan mana-mana keldai dadah akan membawa dadah berkenaan dari negara mereka sebelum dibungkus ke dalam plastik kecil untuk diedarkan.

Siasatan lanjut ke atas suspek pertama mendapati lelaki itu turut membeli barangan di negara ini sebelum dibawa balik ke negaranya dan menggunakan peluang untuk menjalankan perniagaan itu dengan menyeludup dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Suspek pertama telah sembilan kali memasuki negara ini manakala suspek kedua, enam kali dan dengan penahanan ini kami percaya dapat tumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Iran," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Muhammad Sabtu berkata satu pasangan kekasih membabitkan seorang lelaki Iran berusia 42 tahun dan teman wanitanya, wanita warganegara China berusia 34 tahun, ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Villa Condo, Cheras dua hari lepas (10 Mac).

Katanya penahanan hasil risikan itu turut menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1,698 gram dan lima paket plastik lutsinar berisi bahan yang sama dengan anggaran berat 206 gram yang ditemui dalam rumah terbabit.

Muhammad Sabtu berkata kesemua dadah yang dirampas itu bernilai RM571,200 mengikut harga pasaran dan polis turut merampas dua buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM14,900 serta wang Riyal Iran 1,500 selain sebuah kereta jenis Hyundai.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan pasangan kekasih ini yang membungkus sendiri dadah ke dalam bungkusan dan plastik untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang ini dan dipercayai kegiatan ini telah beroperasi sejak setahun yang lepas.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki Iran itu telah berkahwin dan telah memasuki negara ini sejak tiga tahun lepas dan pernah memasuki negara China manakala teman wanitanya itu pula merupakan seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan mula memasuki negara ini pada tahun lepas dengan visa pelajar.

"Kesemua suspek dalam dua kes ini ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Mac hingga 17 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain