suria

Polis Tahan Warga Emas Dan Menantu Kerana Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan dan tiga wanita termasuk seorang warga emas dan menantunya warganegara Thailand, yang dipercayai pengedar heroin ditahan dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini tiga hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner (ACP) Kang Chez Kiang berkata dalam serbuan pertama pada pukul 3 petang, seorang buruh berusia 58 tahun ditahan di Jalan Air Panas Baru, Setapak di sini.

"Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas 22 paket plastik lutsinar yang berisi bahan serbuk yang disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 36.75 gram daripada lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil maklumat yang diterima daripada suspek pertama itu, polis berjaya menahan seorang wanita berusia 52 tahun di Taman Desa Petaling dan hasil pemeriksaan, polis merampas lapan paket plastik lutsinar yang berisi bahan serbuk disyaki heroin dengan anggaran berat 25.35 gram.

Kang berkata hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang wanita warga emas berusia 82 tahun dan menantu perempuannya warganegara Thailand berumur 43 tahun, dalam sebuah kenderaan di kawasan Program Perumahan Rakyat Desa Petaling.

"Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas tiga paket plastik lutsinar yang di dalamnya berisi ketulan dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 231.35 gram," katanya.

Beliau berkata berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 293.45 gram yang bernilai lebih RM15,000 dan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM4,373 dan polis percaya kegiatan pengedaran dadah ini telah beroperasi beberapa bulan yang lepas.

Katanya kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 15 Mac ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain