suria

Polis Rampas 4kg Ganja Dari Pengedar Dadah

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas 4kg ganja bernilai RM10,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Damai, Senai, dekat sini, tiga hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata serbuan pada pukul 12.40 tengahari itu turut merampas wang tunai berjumlah RM10,943 dan sebuah kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang di Johor Jaya, tahun lepas.

"Keputusan ujian air kencing terhadap lelaki berumur 32 tahun itu menunjukkan dia positif dadah jenis ganja dan dia juga mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk memiliki senjata dalam rusuhan, merompak serta memiliki dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata lelaki itu juga baru tamat menjalani hukuman perintah sekatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau berkata lelaki yang dipercayai mengedar dadah di sekitar Kulaijaya, Senai dan bandaraya, kini direman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menumpaskan dua kumpulan samun dan pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan seorang perempuan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya, di sini, Jumaat lepas.

Beliau berkata, hasil serbuan pada pukul 4.15 pagi itu, polis berjaya merampas dadah jenis Ketamin seberat 20.04 gram, syabu seberat 39.3 gram, 46 biji pil Eramin 5, wang tunai RM5,800, dua buah kereta, barang kemas dan pelbagai perkakas elektrik termasuk dua televisyen LCD serta alat pemain video cakera digital.

Katanya, suspek yang berumur 30 hingga 40 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 39A (2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 29(1) Undang-undang Kesalahan Kecil 1955. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain