suria

Polis Rampas 100Kg Ganja, Tahan Tiga Lelaki Termasuk Penjawat Awam

PULAU PINANG: Sepasukan polis peronda Daerah Timur Laut menahan tiga lelaki, termasuk seorang penjawat awam serta merampas 100kg ganja dipercayai bernilai RM350,000 dalam satu pemeriksaan di kawasan Balai Bomba Air Itam di sini pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata sebelum itu, polis menerima maklumat awam mengenai terdapat sebuah kenderaan yang mencurigakan pada pukul 4.12 pagi di kawasan berkenaan.

Katanya sepasukan anggota polis peronda kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap kereta jenis Proton Wira dan menyoal siasat dua lelaki berusia 35 dan 40 tahun yang berada dalam kereta itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui ketulan-ketulan ganja mampat yang disimpan dalam beberapa buah beg pakaian dalam bahagian bonet kereta itu dan terus menahan kedua-dua lelaki terbabit," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata setelah menahan kedua-dua lelaki terbabit, polis kemudiannya menahan seorang lagi rakan mereka yang merupakan penjawat awam.

Ayub berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak beberapa bulan lepas.

"Salah seorang lelaki yang ditahan itu mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Ketiga-tiga mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang mengesan saki baki anggota sindiket itu.

Polis percaya tangkapan kes itu telah membongkar satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kawasan letak kereta balai bomba itu sebagai tempat menyimpan ganja sebelum mengedarkannya.

Terdahulu, Ayub menyampaikan sijil penghargaan kepada lima pegawai termasuk anggota peronda Daerah Timur Laut yang berjaya menahan tiga lelaki terbabit.

Mereka ialah Ketua Inspektor Shaiful Muzir Abdul Rahman, Sarjan Awaluddin Md Yusuf, Sarjan Idris Abdul Rani, Leftenan Koperal Mohd Nor Ramlee dan Leftenan Koperal Shazali Suaid.

"Sijil penghargaan ini sebagai pendorong kepada mereka dan anggota lain untuk terus berusaha membanteras kegiatan jenayah di negeri ini," kata Ayub. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain