suria

Polis Kenal Pasti Geng "Ah Long" Simbah Cat Di 11 Unit Rumah Flat

PULAU PINANG: Polis telah mengenal pasti geng "Ah Long" yang menyimbah cat merah pada 11 unit rumah flat di Ayer Itam di sini semalam bagi menakutkan seorang peminjam yang tinggal di kawasan terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata polis sedang giat mengesan beberapa lelaki berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.

"Polis juga sedang mencari peminjam wang berusia 27 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak beberapa bulan lepas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan 11 unit rumah flat disimbah cat merah bagi menakutkan seorang lelaki yang gagal melunaskan pinjaman RM3,000 dari ah long.

Ayub berkata polis memandang serius perbuatan geng ah long berkenaan yang cuba menakutkan penduduk di kawasan terbabit.

Sementara itu, beliau berkata sejak Julai tahun lepas sebanyak 30 premis menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang secara haram diserbu di negeri ini.

"Daripada serbuan itu polis telah mengenal pasti 30 ah long yang menjalankan kerja berkenaan dan kita sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan kes ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain