suria

Menangi Semula Kepercayaan Kaum Cina Jadi Cabaran Kepimpinan MCA

KUALA LUMPUR: Puak-puak yang bermusuhan dalam MCA kini bekerja keras untuk meraih sokongan 2,378 anggota perwakilan yang akan mengundi pemilihan baru parti itu 28 Mac ini.

Siapapun atau kumpulan manapun yang berjaya akan berdepan dan memikul satu tugas getir iaitu untuk memenangi kembali kepercayaan masyarakat Cina keseluruhannya, kata Dr Thock Ker Pong, pensyarah kanan politik masyarakat Cina Malaysia di Universiti Malaya.

Beliau berkata bahawa selepas pemilihan 28 Mac ini, urusan parti akan kembali pulih tetapi parti akan berdepan cabaran besar untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina memandangkan krisis MCA dilihat berpunca daripada pemimpin parti yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi masyarakat.

"MCA akan kembali pulih tetapi parti itu akan berdepan masalah untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina selepas beberapa pemimpin dari tiga kumpulan yang bertelagah lebih menumpukan kepada kepentingan peribadi mereka berbanding memberi khidmat kepada komuniti," kata Thock.

Seorang pemerhati politik tempatan yang enggan dikenali, berkata apa yang paling penting untuk parti politik Cina terbesar negara itu, ialah ia mesti pulih dan berkhidmat demi kepentingan masyarakat.

"Saya sedih melihat senario terbaru yang menimpa parti. Saya mengalu-alukan pemilihan baru parti tetapi apa yang penting pemimpin yang telah dipilih harus bekerja demi masyarakat Cina dan bukan untuk kepentingan peribadi," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain