Lima Ditahan Selepas Polis Temui Mayat Dalam But Kereta - Semasa | mStar

Lima Ditahan Selepas Polis Temui Mayat Dalam But Kereta

MELAKA: Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita berumur antara 18 dan 25 tahun ekoran penemuan mayat seorang remaja lelaki di dalam sebuah but kereta, semasa kereta itu dikesan berhampiran sekatan jalan raya di Ayer Keroh di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mayat Yap Wai Seng, 18, dari Taman Seri Kerubong, ditemui dalam but kereta berkenaan pada kira-kira pukul 1.15 pagi.

Beliau berkata kereta yang dinaiki empat lelaki itu pada mulanya dilihat berhenti di bahu kiri jalan raya dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota polis yang berkawal kemudiannya menghubungi sebuah kereta peronda untuk membuat pemeriksaan," katanya pada satu persidangan media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui mayat Yap dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan serta kesan jerut di leher, dan menurutnya polis percaya Yap dibunuh di sebuah kawasan perumahan di Semabok, beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.

Salehhudin berkata empat lelaki yang ditahan itu bekerja sendiri dengan tiga darinya berasal dari sini, dan menurutnya polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu.

Beliau berkata polis sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu keatas empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai teman wanita Yap, bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati," katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain