suria

Kerajaan Persekutuan Diminta Terus Komited Perangi Rasuah

PUTRAJAYA: Kerajaan persekutuan diminta terus memberikan komitmen dalam memerangi rasuah dengan memperbaiki sistem pentadbiran dan urusan kewangan untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tun Abdul Hamid Mohamad berkata urusan kewangan dan sistem pentadbiran yang mantap akan membolehkan peruntukan yang mencukupi disediakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), sekaligus membolehkan mereka menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata kerajaan negeri yang tidak dapat membantu secara terus pula diminta agar tidak menghalang SPRM dalam menjalankan mandat mereka secara telus dan terbuka.

"Kepada badan-badan bukan kerajaan saya berseru, berilah sumbangan yang positif dan substantif yang boleh memperbaiki prestasi SPRM. Membuat kenyataan dalam akhbar sahaja apatah lagi tanpa mengetahui fakta yang lengkap dan sebenar tidak akan membantu SPRM dalam memerangi rasuah," katanya dalam ucaptama pada majlis makan malam dan pelancaran Aspirasi SPRM di sini hari Khamis.

Abdul Hamid berkata individu dan dewan-dewan perniagaan yang mempunyai cadangan atau idea yang boleh dikembangkan untuk menambah baik perjalanan SPRM diminta mengemukakannya kepada Sekretariat LPPR.

Usaha memerangi rasuah jelas beliau, perlu dimulakan dengan menghindar diri daripada perbuatan rasuah dan ia tidak terkecuali kepada siapapun, termasuk ahli politik dan pemimpin dari kerajaan atau pembangkang.

"Cara mudah dan semua orang tahu, jangan beri dan jangan terima rasuah. Dalam hal ini tidak ada sesiapa yang istimewa. Selagi ada orang atau pihak yang menganggap diri atau kumpulannya terkecuali daripada menghindar amalan rasuah, selama itulah usaha untuk memerangi rasuah tidak akan berjaya," katanya.

Stigma bahawa "saya atau kami boleh melakukannya tetapi SPRM hendaklah memerangi rasuah" adalah satu sikap yang tidak sepatutnya wujud, katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata kuasa siasatan SPRM adalah terhad kepada kesalahan yang ditetapkan oleh undang-undang yang dibuat oleh Parlimen manakala anggotanya terdiri daripada orang politik.

"Dalam memerangi rasuah sepatutnya tidak ada politik kepartian, tidak ada kerajaan dan pembangkang, tidak ada bangsa dan keturunan, tidak ada pegawai kerajaan dan peniaga. Semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama, semuanya patut memainkan peranan yang serupa, menghindar diri dari rasuah dan membantu memerangi rasuah," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain