suria

Hospital Tuanku Fauziah Dinaik Taraf

KANGAR: Hospital Tuanku Fauziah sedang dinaik taraf mulai awal tahun ini dengan kos melebihi RM180 juta, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan bangunan wad setinggi lapan tingkat bernilai RM173 juta dan pembinaan semula Wad Diraja berharga RM6.9 juta.

Kerja-kerja menaik taraf akan mengambil masa dua tahun.

"Orang ramai mungkin akan mengalami kesulitan semasa berurusan di hospital ini sepanjang kerja-kerja menaik taraf yang dijangka akan mengambil masa selama dua tahun.

"Antara kesulitannya termasuk kesesakan di dalam wad apabila berlaku pemindahan katil-katil pesakit ke lokasi baru di dalam kawasan hospital," katanya di sini hari ini.

Liow berkata satu lagi projek kesihatan yang sedang dalam pelaksanaan di Perlis yang dijangka siap sebelum pertengahan tahun ini ialah Kolej Kejururawatan Masyarakat di Behor Pulai dekat sini.

"Projek bernilai RM13 juta ini bermula pembinaannya pada 2005. Ia lewat disiapkan disebabkan masalah kontraktor," katanya.

Beliau berkata kolej tersebut berupaya menampung sehingga 300 pelatih dan akan membuat pengambilan sulung sebanyak 100 orang mulai Julai ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain