suria

Dua Lelaki Bersaudara Diberkas Selepas Samun Dan Cuba Langgar Polis

KUANTAN: Seorang lelaki dan adik iparnya yang menyamun di sebuah kedai serbaneka dekat sini, diberkas polis selepas dikejar kira-kira 15 minit apabila cuba melarikan diri dengan sebuah kereta.

Pada kejadian kira-kira 12.30 pagi tadi itu, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga, cuba melanggar anggota polis yang mahu melakukan pemeriksaan ke atas mereka di Jalan Haji Ahmad, dekat sini.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Superintenden (ASP) Noor Asyikin Shamsuri hari ini berkata, sebelum itu pihak polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Air Putih, dekat sini.

"Polis yang mendapat maklumat mengenai nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek itu kemudian terserempak kereta jenis Proton Saga dinaiki mereka di jalan berkenaan.

"Polis kemudian mengarahkan suspek berhenti untuk pemeriksaan namun mereka cuba melanggar anggota polis dan bertindak melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini.

Polis kemudian mengejar suspek selama 15 minit sebelum memberkas suspek di rumah mereka di Lorong Setali Lapan dekat sini.

Noor Asyikin berkata polis turut merampas wang tunai RM119, 10 botol minuman keras dan beberapa kotak rokok yang disamun dari kedai tersebut.

Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 25 tahun bersama adik iparnya yang berumur 20 tahun itu pernah menyamun di dua buah kedai serbaneka di Jalan Beserah dekat sini pada Ahad lepas antara 2 sehingga 2.30 pagi.

Mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Daerah (Ipd) Kuantan dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain