suria

Dakwaan Skandal Ahli Majlis MPAJ: Tuduhan Tak Berasas - Izzuddin

KUALA LUMPUR: Atas nasihat pihak polis dan peguam, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Izzuddin Che Din memutuskan untuk mengabaikan segala dakwaan yang dilemparkan kepadanya sebagaimana yang terkandung dalam surat layang dan juga di laman-laman blog.

"Saya pada mulanya berhasrat untuk mengemukakan saman ke atas mereka yang menyiarkan surat layang terhadap saya di dalam blog mereka tapi memandangkan ia adalah surat layang yang tiada nama penulis, alamat atau apa-apa maklumat berkaitan penulis, ia umpama satu dakwaan tidak berasas," katanya.

Bagaimanapun menurut Izzuddin, mana-mana individu yang mahu menyatakan sebarang bantahan atau aduan mengenai dirinya boleh berbuat demikian dengan menemuinya.

"Saya tak akan layan tulisan orang gila kerana banyak perkara boleh dilakukan untuk membantu rakyat," katanya yang mengakui telah melihat risalah berkenaan yang disifatkan sebagai sampah.

Risalah berkenaan diedarkan selepas solat Jumaat di Masjid Bukit Antarabangsa.

Kandungannya antara lain mengandungi tuduhan seorang perempuan yang dikenali sebagai 'N' membuat laporan polis yang mendakwa mempunyai hubungan seks dengan Izzuddin.

Berita berkenaan turut dilihat dimuatkan dalam beberapa laman blog dengan kenyataan Timbalan Ketua Umno Bahagian Bukit Antarabangsa, Omar Salleh menafikan bahawa Umno berada di belakang edaran berkenaan.

"Bila saya dilantik sebagai ahli majlis pada 2008, saya terdengar berbagai dakwaan dan cakap-cakap mengenai saya, tapi saya biarkan sahaja tanpa mempedulikannya.

"Orang boleh cakap apa sahaja, tapi saya tak akan layan, yang penting tanggungjawab saya kepada rakyat," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain