suria

2,500 Pelajar Tanpa Dokumen Pengenalan Di Sarawak

KUCHING: Lebih 2,500 pelajar sekolah rendah dan menengah di Sarawak masih belum mempunyai sijil kelahiran serta Mykad dengan majoriti daripadanya dikenal pasti berada di Miri di utara Sarawak, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat.

"Kita akan atur strategi untuk tempatkan Unit Khas Bergerak (UKB) di tempat yang telah dikenal pasti itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas khas menangani masalah dokumen pengenalan diri penduduk Sarawak di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Jelaing berkata kebanyakan pelajar yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri adalah kaum Iban selain daripada kaum Penan.

Katanya pelajar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri masih dibenarkan meneruskan pendidikan formal di peringkat rendah dan menengah berikutan polisi Jabatan Pelajaran untuk memberi pendidikan untuk semua.

Beliau berkata sebelum dibenarkan mengikuti sistem pembelajaran di sekolah, pandangan ketua kampung akan diperoleh supaya guru besar dan pengetua dapat mengesahkan bahawa pelajar berkenaan adalah warga tempatan walaupun belum ada dokumen pengenalan diri.

"Bagaimanapun pelajar yang masih belum ada dokumen pengenalan diri dinasihati untuk membuat permohonan sekarang atau di UKB berdekatan bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan awam atau mendapat bantuan kerajaan.

"Untuk meningkatkan keberkesanan operasi UKB, kita akan meminta bantuan RTM untuk menyebarkan maklumat berkaitan dengan UKB melalui radio," katanya.

Setakat ini JPN Sarawak memiliki lima UKB yang ditempatkan di Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu dan Miri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pasukan petugas khas sedang mencari jalan penyelesaian penduduk Sarawak tanpa dokumen pengenalan diri yang menetap di kawasan sempadan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain