suria

Tidak Ikut Spesifikasi Punca Bumbung Stadium Runtuh - Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Kegagalan semua pihak yang dilantik untuk membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) mengikut spesifikasi yang ditetapkan di dalam kontrak menjadi punca kejadian bumbung stadium itu runtuh pada 2 Jun tahun lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata laporan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut mendapati semua pihak menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium SSMZA itu.

"Tidak ada satu pihak pun yang ditunjukkan benar-benar paling bersalah. Semua bahagian pun ada (salah). Semua pihak menyumbang ke arah runtuhnya bumbung stadium itu," katanya ketika mendedahkan laporan kertas siasatan kejadian itu di sini semalam.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini, bagaimanapun berkata, kontraktor utama adalah pihak yang bertanggungjawab penuh kerana telah mereka bentuk, membimbing dan membina struktur kerangka bumbung SMZA mengikut terma syarat reka dan bina.

"Sekarang ini berdasarkan penjanjian, kontraktor adalah orang yang bertanggungjawab sepatutnya. Kita (kerajaan negeri) akan ikut pada perjanjian," katanya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penyiasat, Ahmad berkata punca utama bumbung stadium berkenaan runtuh adalah berikutan bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi, faktor reka bentuk yang tidak memadai dan bumbung yang tidak dibina dengan sempurna.

Beliau berkata kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek serta pengawasan yang lemah semasa proses pembinaan stadium sedang dijalankan dan faktor kekurangan pekerja mahir juga menyumbang kepada kejadian tersebut.

Selain itu, Ahmad berkata kekurangan jurutera pakar dan konsultan yang berpengalaman selain sikap ambil mudah dan cuai di semua bahagian turut menjadi punca kepada kejadian itu.

"Masalah kita, kita selalu anggap apabila kita lantik konsultan, konsultan itu lebih hebat dari kita dan kita selalu ambil mudah. Bila ada sikap begitu, kita tidak akan periksa balik reka bentuk yang dicadangkan itu," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada notis telah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit untuk menyelenggara semula stadium berkenaan, Ahmad berkata:" kontraktor dah dimaklumkan dan kita dah bagi notis kepada kontraktor supaya baiki semula, tapi (sehingga kini) masih belum ada jawapan".

Berikutan notis tersebut masih belum mendapat jawapan daripada kontraktor utama, beliau berkata tender bagi proses membersihkan dan penyelenggaraan runtuhan bumbung berkenaan akan dikeluarkan selewat-lewatnya minggu ini.

"Kita akan keluarkan tender secepat mungkin sebab kita dah setuju dalam minggu ini. Kita dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan keluarkan tender untuk kerja pembersihan.

"Kalau dah dibersihkan, kita tengoklah, kalau ia boleh digunakan, kita gunakanlah.

"Selain itu, kita juga kena tengok balik sama ada bangunan itu masih selamat atau tidak untuk digunakan," katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun lepas, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Kejadian itu berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2008. -BERNAMA

Artikel Lain