suria

Polis Minta Bantuan Masyarakat Kesan Saksi Kes Keluar Wang Secara Curang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang saksi wanita bagi membantu siasatan kes pengeluaran wang berjumlah RM33,100 secara curang melalui kemudahan perbankan Internet.

Bukit Aman dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Lee Fui Fui, 32, yang beralamat terakhir di 13-2-10A Pangsapuri Waja, Jalan Tun Perak 5, Taman Tun Perak, Kuala Lumpur pernah menjadi seorang jurujual di sebuah pusat membeli belah di sini.

Lee merupakan saksi terpenting berhubung kes yang melibatkan lima akaun pelanggan RHB Bank dikeluarkan tanpa izin, kata kenyataan itu.

Kes itu telah dibicarakan di Mahkamah Majistret Jalan Duta sejak 2007 dan waran tangkap ke atas Lee telah dikeluarkan mahkamah pada 7 Disember lepas kerana gagal hadir pada hari perbicaraan.

Orang ramai yang mengenali wanita itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, ASP Annuar Amri Abd Muluf di talian 03-26163792 atau Bilik Gerakan JSJK Bukit Aman di talian 03-26263999. - BERNAMA

Artikel Lain