suria

Polis Bongkar Makmal Haram Proses Dadah Jenis Syabu

SEREMBAN: Polis membongkar kegiatan menghasilkan dadah jenis metamphetamine (syabu) dan merampas peralatan untuk memperoses dadah itu bernilai RM200,000 dari sebuah makmal memproses dadah itu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ladang Staffield, Pajam dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt V.R. Ravi Chandran berkata dalam serbuan kira-kira pukul 2.20 petang itu, polis turut menjumpai 14,892 gram cecair warna hitam di syaki dadah jenis metamphetamine serta asid natrit, asid hidroklorik, cecair ethanol dan pelbagai peralatan memproses dadah jenis itu.

"Pihak kami percaya rumah tersebut dijadikan 'kitchen lab' untuk memproses dadah jenis itu untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan Seremban. Siasatan awal mendapati makmal itu baru saja dua minggu beroperasi.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kewujudan 'kitchen lab' ini, terutama dari segi kepakaran menghasilkan dadah jenis ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya dalam serbuan itu, polis turut menahan lima lelaki dan seorang wanita termasuk seorang warga India, seorang warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh yang sedang menjalankan kerja-kerja memproses dadah.

Katanya kesemua suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain