suria

Pelatih PLKN Jadi Sukarelawan Pada F1 Malaysia

SEPANG: Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilibatkan sebagai sukarelawan dalam siri perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia pada April ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kumpulan yang terdiri daripada 120 pelatih itu akan diserapkan sebagai petugas perkhidmatan pelanggan, penyambut tetamu dan pusat informasi, pada 2 April ini.

Langkah ini bertujuan memberi pendedahan kepada mereka khususnya dalam membentuk identiti diri, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sepang International Circuit (SIC) dan Jabatan Latihan Khidmat negara (JLKN), di sini hari ini.

Beliau berkata selain F1, pelatih PLKN juga akan terlibat dalam sambutan Hari Belia.

"Sekiranya ada pihak lain yang berminat untuk menggunakan khidmat mereka, kami lebih daripada sekadar sukacita untuk membantu. Penganjur hanya perlu menyediakan wang poket, makanan dan minuman untuk pelatih ini. Tidak perlu sebarang bayaran untuk keuntungan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan terlibat memberi perkhidmatan kesihatan sepanjang acara F1 berlangsung.

"Jika diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), lintas hormat oleh jet-jet pejuang akan diadakan pada waktu perasmian atau waktu-waktu lain yang sesuai, seperti yang dilakukan sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Ini menandakan komitmen Kementerian Pertahanan dalam menjayakan sukan Formula Satu negara," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi SIC Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC Razlan Razali. - BERNAMA

Artikel Lain