suria

Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Berasingan

KUANTAN: Dua penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Pahang semalam, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim.

Beliau berkata, dalam kejadian pertama seorang tukang jahit maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta di Km 41.8, Jalan Maran-Bandar Jengka dekat Jerantut.

Muhammad Shukri Abdul Mubin, 24, dari Felda Jengka 4 meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mayat Muhammad Shukri dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

Dalam satu lagi kemalangan yang berlaku pukul 3 pagi pula, penunggang motosikal Muhd Fatahudeen Hussain, 24, maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah lori di Km 11.6, Jalan Baru Bentong dekat Raub.

Muhd Fatahudeen yang menunggang bersendirian mengalami cedera parah pada bahagian badan dan meninggal di tempat kejadian, sementara pemandu lori yang membawa muatan barangan kilang tidak cedera, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain