suria

SPRM Mahu Saksi, Pemberi Maklumat Tidak Gentar Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyeru mana-mana saksi atau pemberi maklumat berhubung kes rasuah agar tidak gentar untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, kedua-dua golongan ini penting dalam membantu menyelesaikan sesuatu kes yang sedang dijalankan mahu pun yang telah dibawa ke mahkamah.

"Kes akan kalah jika saksi tidak tampil atau belot. Orang ramai dan media pula tuding jari kepada kita tapi mereka tidak selidik kenapa kes itu kalah.

"Kita ada undang-undang, kalau takut jadi saksi, boleh jadi pemberi maklumat, mereka ini akan dilindungi. Beritahu kepada kita apa masalah mereka (kalau takut menjadi saksi sesuatu kes)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis mengedarkan risalah dan pelekat kenderaan sempena ulang tahun pertama dan pelancaran aspirasi SPRM di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Katanya, SPRM memerlukan maklumat dari saksi, pemberi maklumat dan juga masyarakat khasnya dalam menyiasat dan menyelesaikan sesuatu kes.

Abu Kassim berkata, persepsi rasuah itu sendiri perlu diubah dengan wujudnya kerjasama antara masyarakat dan SPRM untuk mengelakkan rasuah itu berkembang dan berleluasa.

"Saya mohon supaya masyarakat bersama dengan kita dan jangan bagi rasuah untuk elakkan rasuah itu berkembang. Kalau tidak mahu rasuah itu berlaku, jangan bagi," katanya.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, SPRM akan meneliti maklumat dan kenyataan yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan yang meminta supaya SPRM memantau gejala 'lompat parti' sama ada ia melibatkan gejala rasuah dan suapan politik, sebelum memulakan siasatan.

Kenyataan Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) itu disiarkan dalam sebuah laman web hari ini yang antara lain turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk bekerjasama dan mengajukan bukti mengenai lompat parti kepada pihak berkuasa.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Abu Kassim berkata, slogan SPRM yang baru, "Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah" memerlukan kerjasama masyarakat dalam melakukan perubahan yang dirancangkan.

"Perubahan dalam masyarakat ialah dengan tidak memberi rasuah itu sendiri..begitu juga dengan tidak melindungi orang yang melakukan rasuah," katanya,

Beliau berkata, walaupun memerangi rasuah bukan jalan mudah tetapi perubahan itu akan berjaya sekiranya mendapat sokongan padu dari masyarakat dalam memberikan maklumat berhubung sesuatu kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain