suria

Promosi Patin Temerloh Dalam Laman Web

TEMERLOH: Bagi memperkenalkan ikan Patin Temerloh ke peringkat dunia, sebuah laman web patin Temerloh diwujudkan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, laman web tersebut akan menjadi portal dan rujukan kepada pelancong dan orang ramai untuk berkunjung ke daerah Temerloh selain ia dapat membantu pengusaha patin memasarkan produk mereka.

Menurutnya, laman sesawang itu turut akan memaparkan info terkini membabitkan ikan patin selain beberapa kegiatan ternakan sungai di daerah tersebut.

Ikan patin yang merupakan antara ikan sungai tersohor mendapat pasaran baik di dalam dan luar negara dan ia sudah pun menembusi pasaran di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Britain.

"Restoran di Dubai (Emiriah Arab Bersatu) dan Britain kini menyediakan hidangan ikan patin kepada pelanggan dan ia membuka satu lagi peluang perniagaan kepada ternakan patin Temerloh untuk meningkatkan perusahaan mereka," katanya ketika berucap merasmikan laman sesawang www.patintemerloh.com yang dibangunkan Yayasan Salam Malaysia (Salam) Pahang di sini hari ini.

"Laman web ini adalah yang pertama di dunia, walaupun sebelum ini telah dibangunkan laman web patin, namun pelancaran yang terbaru ini lebih bermanfaat kepada semua," katanya.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi turut menasihati anggota koperasi nelayan sungai dan penternak ikan patin Temerloh supaya manfaatkan laman itu untuk mengkomersialkan perusahaan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain