suria

Polis Tahan Lelaki Jadikan 'Kematian Adik' Modal Menipu

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menipu mangsa di sekitar Bandaraya Kuching dan Samarahan sejak akhir bulan lepas dengan menjadikan kematian adiknya sebagai modal menipu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Supritendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek yang berasal dari Kota Samarahan ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk disoal siasat.

Beliau berkata, suspek yang menggunakan identiti palsu iaitu "Cikgu Kalong", menggunakan modus operandi yang sama ketika menipu sekurang-kurang empat orang mangsa di Kuching dan Kota Samarahan yang mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM5,000.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Stanley berkata, berdasarkan siasatan awal polis, suspek menggunakan taktik meraih simpati dengan mendakwa adiknya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sabah dan memerlukan bantuan kewangan segera.

Beliau berkata, suspek kemudian akan membuat panggilan lagi untuk memaklumkan kepada mangsa bahawa adiknya telah meninggal dunia dan memerlukan bantuan selanjutnya untuk menghantar jenazah balik ke Sarawak.

Katanya, mangsa-mangsa hanya sedar mereka ditipu apabila menemui Cikgu Kalong yang sebenar atau anggota keluarganya.

Sehubungan itu, Stanley menggesa orang awam agar tidak mudah terpedaya dan termakan pujuk rayu panggilan orang yang mendakwa anggota keluarga mereka meninggal dunia.

"Jangan panik. Siasat dan semak butir-butir pemanggil dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka sebelum membuat sebarang deposit tunai," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain