suria

Polis Tahan Dua Lelaki, Seorang Wanita Disyaki Edar Dadah

KUANTAN: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki pengedar dadah, selepas cuba merempuh angota polis yang melakukan serbuan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Genting Sempah dekat Bentong semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supritendan Yap Toon Khuan berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum dapat menahan ketiga-tiga suspek yang berumur antara 28 dan 37 tahun itu.

Beliau berkata, polis turut merampas ketulan ganja seberat lima kilogram bernilai kira-kira RM16,000 dalam serbuan oleh 15 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang diketuai Deputi Supritendan S.Xavier hasil risikan dan maklumat awam pada pukul 12.30 malam itu.

"Kereta Perodua Kancil yang dinaiki suspek bertindak mengundur dengan cara berbahaya apabila cuba merempuh anggota pihak berkuasa yang melakukan serbuan dan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke bahagian tayar kereta itu untuk mempertahankan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methaphetamin dan ganja.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka yang berasal dari Kuala Lumpur dipercayai cuba mengedar dadah di Pahang, dan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung mandatori.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain