suria

Penumpang Kereta Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Cameron Highlands - Simpang Pulai

IPOH: Seorang penumpang terbunuh, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di km 20 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 9.30 malam tadi ialah Lau Choong Hum, 46, berasal dari Jalan Jambu, Taman Gopeng, Gopeng.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata dua lagi mangsa masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an, mengalami cedera di badan dan turut dirawat di hospital yang sama.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Gopeng dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke dalam longkang.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Simpang Pulai dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain