suria

Penganggur Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalammerintahkan seorang penganggur membela diri atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Sadiq Saiful Adam Tong, 29.

Dalam keputusannya Ghazali berkata pendakwaan telah membuktikan Sadiq mempunyai pengetahuan dan kawalan ke atas dadah yang dijumpai dalam biliknya bersama-sama dengan beberapa peralatan pembungkusan dan penimbang.

Katanya beberapa saksi pendakwaan juga telah memberi keterangan bahawa ketika kejadian, bilik tertuduh berkunci dari dalam dan tidak mungkin dia tidak mengetahui kehadiran dua buah beg berisi dadah yang diletakkan di ruang terbuka bilik tersebut.

Sadiq didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 27.6 gram dan memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.96 gram di rumah bernombor 3-14-4, Pantai Hillpark, Phase 2, Jalan Pantai Dalam, di sini pada 16 Mei 2008.

Bagi kesalahan mengedar, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati manakala bagi tuduhan memiliki dadah pula, dia didakwa menurut Seksyen 12(2) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang perbicaraan bermula 19 Nov lepas, pihak pendakwaan telah memanggil 10 saksi.

Sadiq diwakili peguam Andrew Lourdes manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar.

Ghazali menetapkan 30 dan 31 Mac untuk sambung bicara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain