suria

Pemilik Farmasi Dipenjara, Denda Curi Injap Jantung IJN

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik farmasi hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN), pada Julai 2008.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Sim Bon Sing, 54, dari Puchong setelah beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Sim didakwa mencuri dua kotak Sequent Pleace bernilai RM10,000 milik Syarikat B Braun Sdn Bhd, di Tingkat 1, Bilik Makmal IJN , No 145 Jalan Tun Razak pada pukul 11.54 pagi, 22 Julai 2008.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran, Sim yang juga pembekal kepada IJN dikatakan mencuri barang itu untuk dijadikan contoh bagi membolehkan beliau mendapat tender untuk membekalkan barangan injap jantung kepada IJN.

Peguam Richard Wee yang mewakili Sim dalam rayuan memohon hukuman dikurangkan kerana ini merupakan kesalahan pertama Sim di samping dia juga merupakan penyumbang utama kepada keluarganya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain