Mayat Lelaki Dengan Kesan Luka Ditemui Dalam Bungkusan - Semasa | mStar

Mayat Lelaki Dengan Kesan Luka Ditemui Dalam Bungkusan

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu jengkaut yang sedang menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Jawi di sini hari ini terperanjat besar apabila menemui satu bungkusan dengan sebelah kaki manusia terjulur keluar, terapung di permukaan sungai berkenaan, di Kampung Baru Valdor, Sungai Jawi di sini.

Mohd Haikal Abdullah, 25, berkata, beliau kemudiannya memanggil rakannya bagi menyiasat isi kandungan bungkusan itu terlebih dahulu sebelum menghubungi polis.

"Sebaik melihat isi kandungannya, kami terkejut kerana tidak menyangka yang dalam bungkusan itu adalah mayat seorang lelaki, saya terus menghubungi polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadin di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira pukul 11.58 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui lengkap dengan seluar jean dan t-shirt berwarna kelabu, dan lelaki itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang dalam sungai berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui kesan hirisan di leher dan luka serta calar seluruh badan lelaki berkenaan dan polis percaya dia dibunuh lebih 36 jam lepas," katanya.

Shafien berkata, tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mayat berkenaan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubung polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Mansuhkan Sistem 'Pool' Serta Merta

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain