suria

Enam Warga Myanmar Bebas Tuduhan Bunuh

KUALA LUMPUR: Enam warga Myanmar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh seorang rakan senegara mereka tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata, pengecaman kesemua tertuduh yang didakwa terlibat dalam pembunuhan itu amat tidak memuaskan.

Mohamad Zabidin menjelaskan adalah tidak selamat untuk memanggil Van Duh Chung, 26; Hassan Ali Juhar, 21; Mohd Abbas Mohd Hussain, 22; Nur Alan Hussain, 24; Yusof, 36 (tiada nama penuh); dan Kokoo Ibrahim, 22, daripada membela diri terhadap pertuduhan membunuh.

"Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan dengan ini mereka dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," jelas Mohamad Zabidin.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah No.28, Jalan Batu Hampar, Taman Batu View, Jalan Ipoh, jam lebih kurang 5 pagi, pada 25 Disember 2007.

Timbalan Pendakwa Raya Yaacob Cik mewakili pihak pendakwaan, sementara Peguam K. Vikneswaran dan Ameenuddin Ibrahim mewakili kesemua tertuduh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain