suria

Dua Warga Emas Maut Dilanggar Lori

KUANTAN: Dua lelaki warga emas maut selepas motosikal mereka dirempuh lori dalam dua kemalangan di Pekan, kira-kira 60 kilometer dari sini semalam.

Pegawai Turus Trafik Negeri Pahang, Deputi Supritendan Mohd Najid Jusoh berkata, dalam kejadian pertama, Lee Chan, 74, maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah lori di Kilometer 40 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, kira-kira pukul 9.55 pagi.

Beliau berkata, Lee Chan yang dirempuh oleh sebuah lori dari belakang, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan akibat kecederaan parah di badan.

Sementara itu dalam kejadian kedua, Harun Selimin, 68, maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah lori di Kilometer 58 Jalan Pekan-Nenas dekat Pekan.

Mohd Najid berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.30 pagi semasa sebuah lori yang sedang dalam perjalanan dari Nenasi menuju ke Pekan, merempuh motosikal yang dinaiki Harun.

Beliau berkata, Harun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain