suria

Tujuh Lagi Kawasan Panas Denggi Dikesan Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kawasan panas denggi dikesan di sekitar ibu kota, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pengurus Komunikasi Korporat DBKL Anwar Mohd Zain berkata kawasan itu ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, PPR Desa Tun Razak, Taman Setapak Jaya (Jalan Rejang 4, 5, 6, 7, 8, 9 dan 10) dan PPR Air Panas.

Tiga lagi kawasan ialah Keramat Wangsa (Kelumpuk Kuang, Kelumpuk Teratai, Menara Merak Kayangan), Bandar Baru Sentul (Menara Orkid) dan Flat Sri Selangor.

Anwar berkata kesemua kawasan itu mencatatkan tempoh wabak berpanjangan selama 30 hari. Tiada kes kematian dilaporkan.

"Pasukan pemantauan DBKL telah melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan mendapati kebanyakan penghuni kawasan terbabit mengabaikan penjagaan kebersihan yang boleh meningkatkan risiko denggi," katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau menggesa penghuni kota supaya menjaga kebersihan kawasan persekitaran agar sentiasa bersih dan bebas daripada takungan air serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata DBKL akan terus meningkatkan kadar pemeriksaan untuk memastikan kawasan terbabit bebas denggi.

"Penghuni yang didapati mengabaikan kebersihan sehingga membiakkan nyamuk aedes akan diberi notis, dan jika masih berdegil mereka boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM1,000," katanya.

Pada 4 Mac lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata Selangor mencatat jumlah kawasan panas denggi paling banyak iaitu 36 kawasan dan 31 kes kematian direkod bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain