suria

Program 1Komuniti 1Koperasi Akan Diperluas Ke Seluruh Negara

SUNGAI BULOH: Program '1Komuniti, 1Koperasi' (1K1K) yang berteraskan penubuhan koperasi di setiap komuniti, akan diperluas ke seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata program itu, yang dilancarkan hari ini, diharap dapat menyemarakkan lagi minat masyarakat Malaysia untuk menubuhkan koperasi tanpa mengira lokasi atau kawasan.

Katanya melalui penubuhan koperasi, pelbagai peluang perniagaan terbuka luas untuk diteroka secara berkumpulan dan penglibatan rakyat secara berkumpulan itu akan meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosioekonomi rakyat.

"Perkara utama yang perlu diwujudkan dalam koperasi adalah semangat kerjasama, perasaan hormat-menghormati serta sikap saling mempercayai sesama anggota bersesuaian dengan budaya dan kehidupan harian masyarakat majmuk 1Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Paya Jaras Hilir, dekat sini semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Muhyiddin berkata selain sektor awam dan swasta, sektor koperasi merupakan sektor ketiga terbesar yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pembangunan sektor itu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada satu peratus kepada lima peratus menjelang 2013.

Penubuhan gerakan koperasi yang bermula sejak 88 tahun lepas telah berkembang pesat dan sehingga kini, terdapat 7,296 koperasi berdaftar dengan keanggotaan berjumlah 6.65 juta orang.

"Ini menggambarkan pembangunan masyarakat melalui gerakan koperasi terbukti masih lagi relevan di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan sehingga kini telah memberi khidmat nasihat melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi penubuhan dan pembangunan koperasi, selain menyediakan Peruntukan Pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM69.5 juta.

Katanya kerajaan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua dan menyediakan peruntukan bagi pinjaman Tabung Modal Pusingan berjumlah RM390 juta. Kesemua program itu akan diteruskan dalam RMK-10. Muhyiddin berkata konsep koperasi berasaskan komuniti bukanlah perkara baru, cuma ia tidak digerakkan secara besar-besaran sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, dengan pelaksanaan program '1Komuniti, 1Koperasi' itu, penubuhan koperasi komuniti akan dipergiat dan diperluas untuk merangkumi pelbagai aktiviti berdasarkan keperluan komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata komuniti yang disasarkan melalui penubuhan 1K1K adalah penduduk sebuah kampung, taman perumahan, kondominium, pangsapuri, qariah masjid, sebuah persatuan keluarga, suatu pasukan, persatuan, kelab, pertubuhan dan perkumpulan wanita dan pekerja.

Beliau berkata kementerian juga telah mewujudkan Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Parlimen (MPKP) di setiap kawasan Parlimen bertujuan menggalakkan amalan berkoperasi di kalangan pelbagai lapisan masyarakat melalui program pembudayaan.

Katanya dengan peluasan program itu ke seluruh negara pula diharap dapat membantu rakyat mendapatkan perkhidmatan yang lebih murah di samping menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain