suria

MEB: Kepentingan Semua Rakyat Dijaga

SUNGAI BULOH: Kerajaan akan memastikan semua rakyat negara ini memperoleh manfaat daripada Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memberi jaminan semua kaum akan menikmati hasil daripada pelan tersebut dan tidak hanya tertumpu kepada kepentingan kaum Melayu sahaja.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri akan pastikan semua mendapat kepentingan daripada modal tersebut dan tidak hanya tertumpu kepada kepentingan orang Melayu sahaja," katanya selepas merasmikan 1 Komuniti, 1 Koperasi (1K1K) di Kampung Paya Jaras Hilir di sini semalam.

Menurut Muhyiddin, rakyat negara ini turut dialu-alukan untuk menyumbang input dan idea dalam pembangunan pelan tersebut yang dilakukan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

"Saya tahu setiap rakyat Malaysia, bukan sahaja Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mahu memberikan pandangan.

Saya berikan jaminan bahawa semua akan dirundingi. Kita mempunyai pelbagai jenis badan bukan kerajaan (NGO), bukan hanya MPM," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Perdana Menteri telah memberi masa yang cukup kepada MPEN dalam menyediakan pelan yang baik dan lengkap kepada kerajaan.

"Perdana Menteri akan umum mengenai perkara itu, kita perlu tunggu sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin meminta semua pihak memberi peluang MCA menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi parti itu tanpa campur tangan pihak luar.

Katanya, beliau percaya parti itu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Saya percaya mereka boleh selesaikan masalah dalaman parti itu dengan baik. Mereka tahu apa yang mereka buat... kita beri ruang kepada mereka," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah menyediakan peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM69.5 juta bagi penubuhan dan pembangunan koperasi.

"Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua dan menyediakan peruntukan bagi pinjaman Tabung Modal Pusingan berjumlah RM300 juta. Semua program ini akan diteruskan dalam RMK10," katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan 1K1K yang berteraskan penubuhan koperasi di setiap komuniti di seluruh negara akan menyumbang kepada merealisasikan Gagasan 1 Malaysia.

"Usaha ini akan menggalakkan masyarakat bersatu dalam koperasi dan berganding bahu bagi mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan untuk manfaat bersama," ujarnya.

Tambahnya lagi, penubuhan 1K1K akan dipergiat berdasarkan keperluan komuniti di masa hadapan selain gerakan itu mampu mencapai dua objektif baru iaitu menangani masalah ekonomi dan mewujudkan perpaduan antara kaum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain