suria

Mansuhkan Sistem 'Pool' Serta Merta

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menyokong saranan kerajaan untuk mengkaji semula sistem pool yang dianggap sebagai alat tindakan pentadbiran menghukum penjawat awam yang bermasalah.

Menurutnya, sistem berkenaan tidak lagi releven untuk diguna pakai pada hari ini dan menyokong kerajaan jika sistem berkenaan dimansuhkan seta merta.

"Sistem pool yang dilaksanakan pada ketika itu mungkin relevan pada zaman itu, tetapi tidak pada hari ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Menyifatkan hukuman di bawah sistem itu sebagai 'neraka dunia', Shahidan berkata, badan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah melibatkan penjawat awam.

"Mereka dihukum oleh JPA tanpa pembelaan dengan menempatkan mereka tanpa kerja dengan berbekalkan sebuah meja tanpa talian telefon adalah tidak adil.

"Adalah menjadi kerugian tenaga dan idea mereka dibazirkan tanpa berbuat apa dan menunggu pencen.

"Seorang pegawai atasan Kerajaan Negeri Perlis di bawah pemerintahan saya pernah dikenakan tindakan di bawah sistem itu. Alasan beliau dikenakan adalah tidak munasabah.

"Oleh sebab itu saya menyokong jika sistem ini dimansuhkan supaya tidak akan ada lagi penjawat awam dikenakan tindakan pool ini," ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan akan mengkaji semula sistem itu kerana elemen "natural justice" iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlu menjadi sebahagian daripada prosedur.

Menurut Najib, atas dasar tersebut, beliau telah mengarahkan agar satu kajian komprehensif dilakukan terhadap penggunaan sistem itu.

Katanya lagi, kerajaan juga akan mengkaji konsep "closed service" iaitu tidak mahu penjawat awam menjadi jumud berikutan sudah terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing akibat tidak dapat lagi meningkat dalam karier mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain