suria

Lelaki Ditangkap Jual Diesel Subsidi Secara Haram

NILAI: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan kerana menjual minyak diesel bersubsidi secara haram dalam sebuah estet di Batu 10, Labu petang semalam.

Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, Norashiken Ishak, lelaki itu diserbu semasa cuba menjual kira-kira 500 liter minyak tersebut di sekitar estet tersebut.

"Lelaki itu kini ditahan untuk siasatan dan kami telah bertindak merampas sebanyak 500 liter minyak diesel yang dimuatkan dalam sebuah lori satu tan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau percaya lelaki itu membeli minyak diesel bersubsidi dari lori tangki syarikat tertentu dan kemudian menjual kembali minyak tersebut untuk kegunaan mesin-mesin di estet itu.

Norashiken berkata, pihaknya yakin akan dapat mengesan sindiket dan dalang penjual minyak diesel itu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (1961) yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain