suria

Bakal Tentera Terbunuh Dalam Kemalangan

KANGAR: Seorang bakal tentera, Noor Hayazi Saad, 25, terbunuh apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sehingga terputus tiga di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun berhampiran kampung Banat dekat sini awal hari ini.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahya berkata, mangsa dipercayai mati lebih dua jam sebelum mayatnya ditemui orang ramai kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar beberapa batang pokok di tepi lebuh raya itu menyebabkan enjin dan bumbung kenderaan itu tercampak ke dalam parit manakala badan kenderaan itu berada di atas lebuh raya.

Bapa mangsa, Saad Abdul, 53, berkata, mayat anaknya yang meninggalkan rumah di Kampung Tebok dekat sini sejak awal pagi semalam dipercayai untuk memancing ditemui dalam parit oleh orang ramai selepas mereka mengesan serpihan kenderaan itu di lebuh raya.

"Anak saya suka memancing di kolam atau sungai dan kali terakhir kami bersua, dia ada menyatakan dia mahu keluar memancing," katanya kepada pemberita di luar bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.

Saad berkata, anaknya terlalu gembira apabila terpilih menyertai perkhidmatan tentera dan telah mula bersiap sedia untuk menyertai latihan tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain