suria

Lembaga Penapisan Filem Perkenal Peraturan Baru Lebih Longgar Mulai 15 Mac

PUTRAJAYA: Mulai 15 Mac ini, Lembaga Penapisan Filem akan memperkenalkan peraturan baru yang lebih terbuka dan tidak begitu mengongkong. Ia adalah perubahan yang pertama selepas 17 tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam ketika mengumumkan demikian berkata, perubahan baru yang akan diperkenalkan ini telah melalui beberapa proses perbincangan dan dipersetujui oleh pelbagai wakil yang menganggotai lembaga tersebut termasuklah pengarah filem, penerbit, penulis skrip dan juga pengedar filem.

Katanya lagi, beberapa bahagian dalam perubahan baru itu adalah merupakan pandangan serta cadangan daripada pihak industri sendiri.

“Terdapat juga beberapa perubahan yang dicadangkan oleh wakil-wakil industri yang perlu diperhalusi tetapi sebahagian besarnya berkisar kepada soal terma yang perlu digunakan dan ia boleh diselesaikan menjelang hujung minggu ini,” katanya,” selepas mempengerusikan mesyuarat Garis Panduan Penapisan Filem di sini hari ini.

Sementara itu, penerbit, pengarah dan pelakon Datuk Yusof Haslam ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, beliau gembira peraturan baru yang akan diumumkan pada 15 Mac depan akan tidak lagi terlalu rigid dan ini akan membolehkan lebih banyak filem mendapat kelulusan ‘tayangan umum’ daripada diklasifikasikan sebagai PG-13, 18SG, 18SX, 18PA, 18PL dan 18PL. “Seringkali apabila sesebuah filem dikategorikan untuk tayangan umur 13 atau 18 ke atas, ia akan berakhir dengan jumlah penonton yang jauh lebih kecil dan ini bermakna jumlah kutipan yang kecil juga.

“Dan semua penerbit serta pengarah ingin mengelak filem mereka jatuh di bawah kategori tersebut dan saya sangat gembira kerana kini kami berpeluang untuk mengemukakan skrip kepada Lembaga Penapisan Filem terlebih dahulu untuk tapisan supaya mana-mana bahagian yang tidak sesuai boleh diperbaiki atau diubah sebelum penggambaran bermula,” kata Yusof lagi.

Yusof berpendapat, cara baru ini jauh lebih baik dan praktikal kerana ia memberi ruang kepada penerbit dan pembuat filem untuk mengeluarkan bahagian-bahagian yang dirasakan sensitif daripada membiarkan ia memasuki peringkat penapisan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain