suria

Kakitangan MPS Miliki Rumah Tiga Tingkat Mati Ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mati ditembak oleh dua lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumahnya sendiri di Selayang Baru hari ini.

Celladurai Kandasamy, 49, dikatakan hendak meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja pada jam 7.30 pagi apabila dua lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5 mendekatinya lalu melepaskan beberapa das tembakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rahim Abdullah, lelaki bersenjata itu dipercayai telah melepaskan empat das tembakan ke arah mangsa - dua daripadanya mengenai dada Celladurai.

Dua lagi tembakan telah tersasar dan terkena motosikal dan pintu pagar rumah tiga tingkat milik mangsa.

“Dalam keadaan kelam kabut itu suspek telah melanggar seorang penunggang motosikal tidak jauh dari rumah Celladurai.

“Orang-ramai yang menyerbu ke arah mereka telah diacukan dengan pistol dan itu telah menyebabkan mereka berundur dan tidak berani berbuat apa-apa,” kata ACP Rahim.

Celladurai yang digegaskan ke Hospital Selayang oleh anak lelakinya Surenthiran, 20, diisytiharkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

ACP Abdul Rahim menambah, polis sedang menyiasat kes itu sebagai satu kes bunuh dan tidak menolak balas dendam sebagai motif pembunuhan.

Katanya lagi, pihak polis difahamkan bahawa di samping bekerja di MPS, Celladurai juga ada menjalankan beberapa perniagaan termasuklah menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang.

“Siasatan awal mendapati bahawa Celladurai memiliki gerai di pasar basah Selayang dan turut terlibat dalam perniagaan jualan langsung.

“Kami juga diberitahu yang mangsa turut melibatkan diri dalam aktiviti memberikan pinjaman wang tetapi ia masih dalam siasatan,” tegas beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain