suria

Guan Eng Mahu SPR Urus Pilihan Raya PBT

PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini bertegas menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Justeru beliau berharap satu perbincangan khusus dapat diadakan antara kerajaan negeri dan SPR bagi memperhalusi cadangan berkenaan.

"Saya harap sebelum mereka membuat keputusan, biarlah kita bertemu dan berjumpa dahulu untuk membincangkan ia secara terperinci," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa pihaknya akan merujuk dahulu perkara berkenaan kepada penasihat undang-undang badan itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

Malah Abdul Aziz juga menyatakan masih belum menerima sebarang surat mengenai permohonan berkenaan.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Guan Eng berkata kerajaan negeri telah menghantar surat berkenaan kepada SPR pada 4 Mac lalu.

"Itu bukan alasan, kita sudah hantar... malah kita juga sudah hantar semula kepada SPR.

"Jangan tumpu pada perkara remeh-temeh, perkara pokok ialah adakah SPR bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebuah institusi yang kompeten menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan... itu yang perlu dijawab oleh SPR," katanya.

Guan Eng juga menegaskan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengarahkan SPR menjalankan pilihan raya berkenaan.

"Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada SPR menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada pilihan raya yang dinyatakan dalam Fasal (1).

"Jadi kerajaan negeri memang boleh beri kuasa kepada SPR kecuali pilihan raya bagi kawasan Parlimen dan negeri kerana ia diperuntukkan di bawah Perlembagaan," katanya sambil menegaskan pilihan raya berkenaan penting bagi memberi kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Selain itu katanya, melalui pilihan raya ini juga dapat menguji sama ada badan berkenaan benar-benar bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.

"Ini adalah cara untuk uji sama ada SPR merupakan badan bebas atau tidak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain