suria

SPRM Tumpaskan Kegiatan Pembalakan Haram

IPOH: Sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan satu kegiatan pembalakan haram di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Perak dan Pahang dalam operasi bersama Jabatan Perhutanan Perak dan Rela semalam.

Kawasan pembakalan haram berkenaan terletak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Dalam operasi yang bermula kira-kira 9 pagi semalam, beratus batang balak yang baru dipotong dan dianggar bernilai jutaan ringgit serta beberapa jentera berat yang berada di kawasan itu disita.

Jurucakap SPRM berkata tiada tangkapan dibuat kerana mereka yang terbabit dalam kegiatan itu sempat melarikan diri.

Beliau berkata operasi berkenaan dipercayai dapat dikesan kerana jalan hutan untuk memasuki kawasan pembalakan itu dihalang dengan batang pokok dan jentera berat menyebabkan pasukan berkenaan hanya dapat memasuki kawasan itu selepas lebih dua jam perjalanan.

"Bagi mengelak ditangkap mereka meletakkan sebuah jentera berat di atas laluan masuk ke kawasan itu bagi memudahkan mereka memboloskan diri apabila dihampiri anggota penguatkuasa," katanya.

Jurucakap itu berkata siasatan awal mendapati, lesen membalak di kawasan tanah milik persendirian itu telah dikeluarkan untuk tempoh dari 16 Oktober 2009 hingga 15 Januari lepas.

Beliau berkata operasi itu dijalankan selepas pihaknya mendapat aduan bahawa kegiatan pembalakan masih diteruskan selepas tempoh berkenaan tamat dan ia turut melibatkan pokok di luar kawasan yang dibenarkan.

Jurucakap itu berkata dipercayai lebih 10 pekerja terlibat dalam kegiatan itu dan pasukan berkenaan turut menjumpai makanan yang baru dimasak dalam sebuah bangsal yang dijadikan tempat rehat dan makan.

Pembalakan haram itu dijalankan di kawasan hutan seluas kira-kira 100 hektar, katanya.

Beliau berkata SPRM akan menyiasat beberapa syarikat yang terlibat dengan kegiatan pembalakan di kawasan itu serta mendapatkan keterangan beberapa pegawai Jabatan Perhutanan Perak bagi membantu siasatan kes itu. BERNAMA

Artikel Lain