suria

Ong Rasmi AGM MCA, Kata Parti Hadapi Satu Ujian Getir

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat merasmikan mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-56 parti di sini hari ini, mengingatkan para perwakilan bahawa parti, yang akan mengadakan pemilihan baru dalam tempoh tiga minggu, sedang berdepan "satu ujian getir".

Mesyuarat itu bermula pada 10 pagi dengan lebih 600 daripada 2,387 perwakilan mendaftar bagi mesyuarat itu, dan jumlah perwakilan terus meningkat kepada lebih 800 sejam kemudian.

Ong dan penyokongnya mahu AGM diadakan hari ini seperti jadual manakala saingan beliau, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan beberapa yang lain dan penyokong mereka tidak menggalakkan para perwakilan hadir pada AGM.

Dr Chua dan 20 yang lain, antaranya tiga naib presiden, meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Pusat (CC) pada Khamis, memaksa parti mengadakan pemilihan baru dalam tempoh sebulan seperti ketetapan perlembagaan parti iaitu apabila dua pertiga anggota CC meletak jawatan. Naib presiden keempat, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen meletak jawatan sebagai anggota CC pada Sabtu.

"Ini satu ujian getir terhadap keutuhan kita. Walaupun terpaksa mengharungi pelbagai dugaan, kita sebagai perwakilan parti, satu-satunya tanggungjawab yang diletakkan ke atas diri kita oleh ahli kita ialah menjalankan tugas kita secara teratur dan tanpa diingatkan atau dipaksa-paksa," kata Ong dalam ucapan perasmian di Dewan San Choon di ibu pejabat parti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan mesyuarat itu atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) tetapi memutuskan untuk tidak berbuat demikian berikutan perkembangan terbaru dalam parti itu.

MCA menetapkan 28 Mac untuk mengadakan pemilihan baru.

Dr Chua, empat naib presiden dan anggota CC yang telah meletak jawatan tidak hadir pada AGM.

Penyokong Ong mendakwa terdapat cubaan oleh kumpulan saingan untuk memboikot AGM itu dengan menyatakan mesyuarat itu tidak sah bagi mengelirukan perwakilan.

Terdahulu, ketika ditanya pemberita, setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng turut menyangkal dakwaan yang dibuat oleh kumpulan berkenaan.

"Jika mereka kata ianya tidak sah, mereka yang telah meletak jawatan sebenarnya yang menjadikannya tidak sah. Mereka sepatutnya tidak meletak jawatan sebelum AGM ini," katanya.

Beliau berkata baki anggota CC masih mempunyai kuasa untuk mentadbir hal ehwal parti mengikut ketetapan Perkara 41 perlembagaan parti.

Ketua Pemuda dan Wanita telah menangguhkan AGM masing-masing yang dijadualkan pada Sabtu.

Namun 350 perwakilan Wanita hadir dan mengadakan mesyuarat mereka manakala usaha oleh beberapa perwakilan Permuda untuk mengadakan mesyuarat mereka gagal ekoran tidak cukup kuorum. - BERNAMA

Artikel Lain