suria

Industri Tempatan Diminta Lebih Terbuka Dekati Pelajar

AMSTERDAM: Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu pihak industri tempatan lebih terbuka mendekati pelajar-pelajar universiti bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan industri yang lebih jelas seperti berlaku di Belanda.

"Kita tidak mempunyai tradisi tentang penglibatan pensyarah dan pelajar yang mempunyai hubungan yang mantap dengan pihak industri," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu di perjumpaan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Belanda, di sini hari ini.

Beliau kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama lapan hari ke tiga bandar utama Eropah iaitu Amsterdam, Belanda; Hamburg, Jerman; dan Birmingham, United Kingdom, yang akan berakhir 13 Mac ini.

Beliau berkata pihak industri pernah menyuarakan bahawa bilangan pelajar yang mengikuti latihan praktikal terlalu ramai yang hampir mencecah setengah juta orang pada satu-satu ketika dan ini membebankan mereka.

Industri itu juga menyatakan mereka tidak nampak relevannya pensyarah dan pelajar ini kepada perkembangan syarikat mereka pada masa akan datang, katanya.

Namun, kata Mustapa, pihak industri seharusnya sedar nilai jangka panjang yang akan mereka perolehi dengan mempunyai hubungan dengan pensyarah dan pelajar sedari awal.

"Terdapat antara mereka hanya membiarkan pelajar-pelajar yang mengikuti latihan praktikal menyapu sampah dan staple dokumen.

"Tetapi di Belanda, pihak industri menganggapnya sebagai tanggungjawab yang akan memberi manfaat kepada pihak industri khasnya dan negara mereka amnya," katanya. Sehubungan itu beliau turut meminta supaya pensyarah dan pelajar supaya lebih agresif dalam mengadakan hubungan dengan pihak industri.

"Jika perlu, suarakan kepada media sekiranya pihak industri tidak mahu bekerjasama," kata menteri itu.

Sebelum itu, pelajar-pelajar tersebut mencadangkan supaya pihak industri di Malaysia mencontohi pihak industri di Belanda yang mempunyai hubungan yang baik dengan pelajar semenjak di peringkat menengah lagi.

Mereka menyatakan pelajar-pelajar di Belanda lebih berpengalaman kerana mereka didedahkan dengan "live project" oleh pihak industri.

"Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan seperti KLM Royal Dutch Airlines, operator lapangan terbang Amsterdam, Schiphol Group dan ramai lagi pasti datang sekiranya dijemput".

"Mereka memberi syarahan seawal kelas 8 pagi. Ia tidak dibayar. Ia secara sukarela.

Upah yang diberi hanya secawan kopi.

"Di Malaysia, belum tentu Ketua Pegawai Eksekutif akan melayan surat jemputan yang datangnya dari seorang pelajar," kata seorang pelajar itu. -BERNAMA

Artikel Lain