suria

Cadangan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Perlu Kajian Mendalam - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan pilihan raya bagi pemilihan anggota majlis kerajaan tempatan perlukan kajian mendalam bagi memastikan ia tidak merugikan rakyat.

Beliau berkata tidak ada gunanya tergesa-gesa melaksanakan proses demokrasi seperti itu jika akhirnya merugikan rakyat.

"Perubahan-perubahan sebesar ini perlu banyak kajian dan penelitian supaya dapat menjadikan organisasi kerajaan tempatan atau majlis perbandaran itu lebih mantap," katanya pada sidang akhbar ketika waktu rehat Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan pilihan raya diadakan bagi pemilihan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Abdul Khalid berkata sekiranya kerajaan neegri Selangor mahu mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, pihaknya akan mendapatkan penerangan terlebih dahulu daripada SPR.

Mengenai keputusan Anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kulim Bandar Baru Zulkifli Noordin tidak mahu merayu berhubung pemecatannya daripada parti itu semalam, Abdul Khalid berkata itu terpulang kepada individu itu sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain