suria

Bekas Peguam Dipenjara Dua Tahun Kerana Pecah Amanah

BUTTERWORTH: Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah melibatkan RM271,000 kira-kira sembilan tahun lepas.

Hakim Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman terhadap Suhani Mat Daud, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

"Saya membuat keputusan telah mendengar dan mengambil kira rayuan yang dikemukakan kerana ia adalah kesalahan pertama. Suhani juga telah membayar balik wang kepada pengadu dan telah meninggalkan profesionnya," katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Suhani diikat jamin RM15,000 sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu.

Dia dituduh melakukan pecah amanah membabitkan kira-kira RM271,000 di Pejabat Tetuan Suhani and Partners di No. 42, Bangunan Mara, Jalan Danby, Bukit Mertajam antara 28 Mac hingga 6 Julai, 2001.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan, serta denda.

Terdahulu, peguam Simon Murali yang mewakili Suhani memohon mahkamah meringankan hukuman berikutan tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan menanggung sembilan anak.

"Suhani juga telah membayar balik kesemua wang yang digunakannya oleh itu saya pohon mahkamah mengambil kira perkara ini," katanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Perdakwa Raya, S. Devanandan. - BERNAMA

Artikel Lain