suria

P.Pinang Putus Adakan Pilihan Raya PBT

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk memperkenalkan pilihan raya majlis perbandaran di negeri itu dan telah memohon bantuan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia bagi melaksanakan proses tersebut.

Pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana salah satu kritikan yang diterima oleh Pakatan Rakyat (PR) selepas pilihan raya umum yang lalu adalah berkisar kepada kegagalan mereka memenuhi janji manifesto iaitu untuk mengadakan pilihan raya majlis-majlis perbandaran.

Pulau Pinang hanya mempunyai dua majlis perbandaran sahaja iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang mentadbir urusan-urusan pihak berkuasa tempatan di sebelah pulau dan Majlis Perbandaran Seberang Perai di tanah besar.

Menurut Lim, pihaknya telahpun mengutus surat rasmi kepada SPR bagi membolehkan suruhanjaya itu menguruskan pilihan raya dua majlis berkenaan.

Kata Guan Eng, keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri berhubung perkara tersebut adalah untuk menyerahkan kembali kuasa memilih kepada rakyat dan untuk memartabatkan demokrasi dalam kerajaan tempatan.

"Selepas menimbang perkara ini semasak-masaknya, jemaah mesyuarat kerajaan negeri dalam pertemuan Rabu lalu memutuskan sudah tiba masanya pilihan raya majlis perbandaran diwujudkan semula sebagaimana yang dijanjikan," katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Pertandingan tujuh sebelah bolasepak antarabangsa yang ke-11 Penang Sports Club di sini hari ini.

Dengan keputusan itu juga bermakna Pulau Pinang akan menjadi negeri yang pertama di Malaysia mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli-ahli majlis yang selama ini dilantik oleh kerajaan negeri yang berkuasa.

Artikel Lain