suria

Kurang 20 Rakyat Sabah Menganggur Dan Sedang Cari Kerja Di Semenanjung - Musa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kurang daripada 20 rakyat negeri ini yang sedang menganggur dan mencari pekerjaan di Semenanjung, terutama di Lembah Klang, dan bukannya 200 orang seperti dilaporkan sebelum ini.

"Kerajaan negeri telah menghantar rombongan untuk mendapatkan angka sebenar rakyat kita di sana dan mendapati tidaklah ramai yang masih berusaha mencari kerja di sana.

"Kita juga telah menawarkan kepada mereka supaya balik ke Sabah, termasuk pembiayaan tiket penerbangan, dan kita boleh mencari kerja untuk mereka.

Malangnya, kebanyakan mereka mahu terus tinggal di Semenanjung," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di kediaman rasminya di sini.

Musa menjelaskan kenyataan Mohd Ali semalam mengenai hasil bancian Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda Umno yang mendapati 200 rakyat dari Sabah yang berada di Semenanjung sedang mencari pekerjaan.

Beliau juga melahirkan perasaan gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri Melaka terhadap nasib rakyat dari Sabah yang masih gagal mendapatkan pekerjaan di Semenanjung dengan menawarkan pekerjaan di Melaka.

Mohd Ali berkata Melaka berkongsi keprihatinan Sabah kerana Melaka juga mempunyai rakyat yang tidak berminat bekerja di negeri sendiri.

"Melaka memang memerlukan orang. Kami mengambil 20 peratus pekerja asing untuk bekerja di pelbagai sektor seperti restoran, perladangan dan pembinaan.

"Kami juga mempunyai tawaran pekerjaan profesional. Julai ini Melaka akan mewujudkan industri tenaga solar dan memerlukan 100-200 jurutera elektrik untuk tujuan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain