suria

Kerajaan Timbang Perkenal Undang-Undang Tambahan Pastikan Kebersihan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kini menimbang untuk memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat bagi meningkatkan tahap kebersihan bandaraya Kuala Lumpur.

Menterinya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Kuala Lumpur perlu mencontohi dasar kebersihan yang diamalkan Singapura sekiranya mahu menjadi bandaraya kelas pertama selain memberikan imej baik kepada pelabur dan pelancong.

"Macam orang Malaysia pergi Singapura, bila di Singapura orang Malaysia takut kena tangkap sebab buang sampah. Tapi bila balik ke Malaysia dia sudah tidak takut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kebersihan Kuala Lumpur 2010, di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan sikap buruk rakyat negara ini dan ianya perlu diubah.

Raja Nong Chik berkata pada masa ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menubuhkan skuad khas untuk memantau tahap kebersihan harian di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti seperti Chow Kit, Bukit Bintang, Pudu, Brickfields dan Bangsar.

Kerja-kerja pemantauan itu juga dibantu Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Peniaga Kecil, Jabatan Perlesenan, Jabatan Penguatkuasan, Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Kawalan dan Pembersihan Bandar.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian kuasa kepada pemilik rumah pangsa untuk memilih pemaju bagi membaikpulih flat mereka, Raja Nong Chik berkata pihaknya akan meneliti penerimaan orang ramai terhadap kaedah itu terlebih dahulu sebelum diperluaskan.

"Biasanya kerajaan yang pilih siapa pemaju, tapi bila kita pilih dia kata kita ada kepentingan seolah-olah kita memihak kepada sesuatu pemaju, dan bila kita buat cara ini kita serahkan pemilihan itu kepada penduduk dan pemilik sendiri," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa lagi rumah pangsa di sekitar Kuala Lumpur untuk diberi kuasa itu yang pertama kali diberikan kepada 480 pemilik rumah flat empat tingkat PKNS Kampung Kerinchi, di sini pada Rabu lepas.

Kumpulan pemilik itu akan membuat pengundian secara rahsia pada 12 Mac ini untuk memilih pemaju bagi membangunkan semula flat mereka. - BERNAMA

Artikel Lain