suria

Industri Harus Sedia Program Latihan Lahir Graduan Cekap - Khaled

JOHOR BAHARU: Pihak industri harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi di negara ini dalam menyediakan program latihan dalaman untuk melahirkan graduan yang cekap, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kerjasama ini adalah bagi memastikan graduan-graduan yang dilahirkan itu dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan pihak industri.

Namun, apa yang berlaku sekarang ialah pihak industri hanya mengadu mengenai kelemahan graduan tetapi tidak ada keinginan untuk tampil membantu institusi pengajian tinggi.

"Di negara maju, latihan dalaman adalah sesuatu yang wajib di mana pihak industri mesti menyediakannya kepada pelajar tetapi di negara kita ia belum ada disebabkan tiadanya keinginan industri untuk bekerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kerjaya Juruukur 2010 anjuran Pertubuhan Juruukur Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau berkata industri memerlukan tenaga kerja yang kompeten agar dapat membantu syarikat untuk lebih produktif dan berjaya dalam persaingan.

Oleh kerana faktor masa yang terhad, institusi pengajian tinggi hanya mampu menyediakan ilmu dan kemahiran yang asas kepada pelajar, katanya.

Khaled turut berkata aspek bimbingan kerjaya harus ditekankan di peringkat sekolah di mana kaunselor-kaunselor mesti mampu berperanan memberi nasihat kepada pelajar dalam memilih kerjaya yang tepat.

Pemilihan kerjaya yang tepat katanya akan membantu mewujudkan modal insan yang mencukupi bagi pembangunan negara ini, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain