suria

Dua Lelaki Cedera Parah Ditetak Dalam Pergaduhan

PULAU PINANG: Dua lelaki cedera parah akibat ditetak dengan parang dalam satu pergaduhan di sebuah restoran di Air Itam, awal pagi ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi itu, seorang daripada lelaki itu cedera di bahagian leher manakala rakannya mengalami kecederaan serius di badan.

Katanya siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa telah bertengkar dengan seorang lelaki ekoran rasa tidak puas hati dan suspek dikatakan telah memanggil sekumpulan rakan-rakannya untuk memulakan pergaduhan.

"Dalam pergaduhan itu, ada di antara mereka bersenjatakan parang dan telah menetak mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini polis telah menahan seorang lelaki warganegara Myanmar dan 14 lelaki tempatan yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun untuk membantu siasatan kes itu.

Polis sedang mengesan tujuh lagi warganegara Myanmar yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain