suria

Anwar Boleh Kekal Sebagai Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyuarakan sokongannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus kekal sebagai Ketua Pembangkang walaupun beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar dari parti itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) akan terus memberikan sokongan penuh kepada Penasihat PKR itu.

Katanya, kerajaan dan Speaker Dewan Rakyat tidak berhak untuk menentukan siapa Ketua Pembangkang di Parlimen kerana kedudukan tersebut ditentukan oleh anggota Parlimen pembangkang sendiri.

Isu jawatan yang dipegang Anwar timbul selepas bilangan Ahli Parlimen PKR menurun kepada 28 berikutan keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) bertindak keluar parti untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Mustafa memberitahu satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS di sini bahawa kerjasama antara ketiga-tiga parti pembangkang itu tidak terjejas ekoran beberapa kejadian keluar parti itu.

Malah, katanya, gabungan pembangkang itu akan mengadakan sambutan dua tahun Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang berlangsung selama lima hari mulai malam ini.

Pada Selasa lepas, DAP turut menyatakan sokongan sama kepada Anwar untuk mengekalkan jawatannya dalam Parlimen.

Mengenai anggota PKR yang keluar parti itu, Mustafa berkata kemungkinan seseorang itu tidak tahan dengan ujian yang dihadapi sebagai Ahli Parlimen pembangkang berbanding Ahli Parlimen kerajaan yang didakwa diberi peruntukan RM1 juta bagi membangunkan projek di kawasan masing-masing.

"Ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat semua itu dan ini mungkin memberi tekanan untuk mereka memberi perkhidmatan kepada rakyat, dia rasa dia terhalang, mungkin orang lain boleh tahan tapi dia tak tahan...tapi sebagai orang politik, dia sepatutnya bersedia menghadapi suasana seperti ini.

"Pepatah Melayu ada menyebut kalau takut dipukul ombak, jangan berumah di tepi pantai. Pembangkang macam berumah di tepi pantailah, dia menghadapi ombak, belum tsunami lagi tu," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perkara itu ada hubung kait dengan usaha Barisan Nasional (BN) mendapatkan sokongan anggota Parlimen pembangkang untuk memperolehi dua pertiga majoriti dalam Parlimen. - BERNAMA

Artikel Lain